PBSM NBD Slideshow

Rabu, 16 Jun 2010

PENDERMAAN DARAH

Pendermaan darah adalah satu perbuatan yang berperikemanusiaan. Darah yang didermakan boleh menyelamatkan nyawa orang lain. Aktiviti pendermaan darah adalah satu amalan yang sudah lama diamalkan di Negara Brunei Darussalam. Pusat-pusat pendermaan darah sentiasa mendapatkan penderma-penderma darah yang baru. Jika awda sihat, badan awda dengan mudah dapat menderma sekurang-kurangnya 1 pain darah. Awda tidak perlu risau kerana badan awda akan menggantikan darah yang telah didermakan itu.


Kenapa perlu menderma darah?
- Membentuk satu perubahan di kalangan masyarakat dengan membantu orang lain
- Mewujudkan rasa tanggungjawab di kalangan masyarakat

Siapa yang boleh menderma darah?
- Setiap individu yang sihat, berumur di antara 18 dan 60 tahun
- Mempunyai berat badan sekurang-kurangnya 50kg
- Bebas dari selesema, demam panas dan penyakit-penyakit lain pada waktu menderma darah

Apakah menderma darah itu selamat?
Ya, ianya adalah sangat selamat. Peralatan yang digunakan untuk mengambil darah adalah bebas daripada kuman dan virus serta dipakai-buang.

Apakah kumpulan-kumpulan darah?


Terdapat 4 kumpulan darah yang utama:
- Kumpulan A
- Kumpulan B
- Kumpulan AB
- Kumpulan O
Setiap kumpulan darah dibahagi kepada Rhesus positif atau Rhesus negatif.

Siapa yang memerlukan darah?
Mereka yang memerlukan pemindahan darah termasuk:
- Pesakit-pesakit kanser
- Pesakit-pesakit leukemia
- Mangsa kemalangan
- Pesakit yang menjalani pembedahan
- Penyakit obstetrik dan sakit puan
- Anak damit yang lahir pramasa
- Kes-kes kebakaran
- Mangsa cedera parah
- Pesakit menghidap penyakit-penyakit darah: Thalassemia, Haemophilia dan sickle cell disease

Bagaimana mengetahui aktiviti pendermaan darah yang akan dijalankan?
Biasanya pihak Perkhidmatan Pemindahan Darah Bergerak akan menampalkan poster bersaiz A4 tentang aktiviti pendermaan darah yang akan dijalankan sekurang-kurangnya sebulan sebelum berlangsungnya aktiviti berkenaan. Poster-poster berkenaan ditampal pada tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai. Bagi pemindahan darah yang berbentuk segera pula akan dimaklumkan melalui radio, akhbar atau perkhidmatan teks/pesanan ringkas telefon bimbit.

Berapa lama masa yang diperlukan untuk proses pendermaan darah?
Proses pendermaan darah mengambil masa 15 minit namun awda perlu meluangkan masa selama satu jam dari masa awda tiba sehingga selesai.

Apakah persiapan yang perlu sebelum mengikuti pendermaan darah?
- Pastikan awda bebas dari selesema, demam panas dan penyakit-penyakit lain
- Mengambil sarapan yang mencukupi dan jangan sekali-kali membiarkan perut awda kosong sebelum mengikuti pemindahan darah. Walaubagaimanapun pihak Perkhidmatan Pemindahan Darah Bergerak ada menyediakan jamuan ringan sebelum memulakan pemindahan darah
- Jika awda sudah menjadi ahli penderma darah, jangan lupa untuk membawa kad derma darah awda pada setiap kali perjumpaan bagi tujuan pemindahan

Apakah yang perlu awda lakukan selepas menderma darah?
- Rehat selama 15 minit di ruang yang disediakan sambil menikmati jamuan ringan
- Minum banyak air dalam masa 24 jam
- Jangan merokok sekurang-kurangnya selama 3 – 4 jam
- Jangan buka plaster sehingga 3 – 4 jam
- Hindarkan dari melakukan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tenaga atau yang berat dalam masa 24 jam
- Makan ubat yang diberikan oleh pihak Perkhidmatan Pemindahan Darah Bergerak mengikut dos yang diarahkan

Berapa kerap awda boleh menderma darah?
- Lelaki boleh menderma darah setiap 3 bulan
- Perempuan boleh menderma darah setiap 4 bulan

Di manakah tempat menderma darah?
- Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Makmal, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Bandar Seri Begawan
- Unit Perdermaan Darah, Perkhidmatan Makmal Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong
- Unit Pendermaan Darah, Perkhidmatan Makmal Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait
- Di tempat-tempat kempen pendermaan darah diadakan


(Diubahsuai dari artikel ”Pendermaan Darah”, Ruangan Berita Perubatan, Suratberita Fokus Kesihatan Bil. 111, Mei/Jun 2007)




Sejarah Pemindahan Darah

Pemindahan darah banyak disebutkan di dalam teks-teks ugama kuno dalam pelbagai tamadun. Pemindahan darah yang pertama didokumentasikan ialah pemindahan darah di antara dua ekor anjing yang telah dilakukan oleh Richard Lower pada tahun 1665.

Pada tahun 1901, Landsteener telah menemui pembahagian Kumpulan Darah ABO yang menjadi mercu tanda perubatan secara pemindahan. Dalam sejarah Palang Merah, ahli yang mula-mula menderma darah ialah Percy Lane Oliver, Setiausaha Kehormat Palang Merah British cawangan Camberwell iaitu pada tahun 1921 apabila King's College Hospital memohon kepadanya untuk menyelamatkan seorang pesakit. Pemindahan tersebut berjaya. ekoran dari dari itu sebuah kumpulan penderma dari seluruh negara telah dibentuk.

Pada tahun 1970an, semakin ramai penderma sukarelawan yang muncul dan penyakit-penyakit yang boleh berjangkit melalui pemindahan darah mula dikesan. Bermula dari sini, bermulalah cara pemindahan darah yang lebih selamat dan bersistem.


Hari Penderma Darah Sedunia

Bagi mengenang jasa para penderma darah, tarikh 14 Jun pada setiap tahun dijadikan sebagai Hari Penderma Darah Sedunia.


MESEJ PENTING BAGI PENDERMA DARAH
Sebagai penderma darah, anda seharusnya ingin memastikan bahawa anda menderma darah yang sihat dan selamat. Namun, ada ketikanya darah anda adalah tidak sesuai untuk pendermaan. Kerap kali anda berasa sihat walaupun darah anda membawa virus dan kuman berjangkit yang lain. Darah anda boleh memudaratkan mereka yang menerima darah.

Sebelum anda mendermakan darah, anda akan dipastikan dalam keadaan sihat untuk menderma dan tidak berisiko membawa penyakit berjangkit yang boleh memudaratkan penerima darah. Pusat Pendermaan Darah bergantung kepada anda untuk memastikan bahawa darah anda adalah selamat untuk digunakan.

Penyakit-Penyakit Yang Menyebabkan Darah Anda Tidak Sesuai Untuk Didermakan:

1. Sindrom Penyakit Kurang Daya Tahanan (AIDS) / Jangkitan HIV

Jangkitan HIV adalah disebabkan oleh Human Immudeficiency Virus (HIV I & II). Peringkat terakhir penyakit ini dipanggil AIDS. Jangkitan HIV disebarkan melalui:

* hubungan seks dengan orang yang menghidap HIV
* berkongsi jarum sepertimana yang digunakan dalam penyalahgunaan dadah melalui suntikan
* transfusi darah yang tercemar
* ibu mengandung yang dijangkiti virus kepada anak dalam kandungannya.

Kebanyakan mereka yang dijangkiti oleh HIV tidak tahu yang mereka membawa virus itu disebabkan mereka kelihatan dan berasa sihat. Di peringkat awal jangkitan yang dinamakan “window period”, ujian makmal tidak dapat mengesan jangkitan HIV. Oleh itu virus HIV boleh merebak dari penderma kepada mereka yang menerima darah. "Window period” adalah masa di antara jangkitan oleh HIV dan pengesanannya dengan menggunakan ujian yang sedia ada pada masa ini. Inilah sebabnya kenapa mereka yang terdedah kepada virus HIV tidak boleh menderma walaupun ujian HIV mereka adalah negatif.

Mereka yang berisiko tinggi kepada pendedahan virus HIV adalah tidak boleh menderma darah. Mereka tergolong kepada :

Mereka yang pernah mengalami ujian HIV mereka positif atau yang mengalami AIDS
Mereka yang pernah bertukar-tukar pasangan seks
Mereka yang pernah melakukan seks rambang
Mereka yang pernah mengamalkan hubungan sejenis
Mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah
Mereka yang pernah melanggani pelacur/ pekerja perkhidmatan seks
Mereka yang menunjukkan tanda-tanda dan simpton AIDS seperti penurunan berat badan, kelenjar-kelenjar pada badan membengkak, cirit-birit yang berterusan atau kanser
Mereka yang pernah menjadi pasangan seks kepada mana-mana pelanggan di atas.

2. Hepatitis

Hepatitis adalah sejenis jangkitan virus yang mengakibatkan radang hati. Hepatitis disebabkan oleh beberapa jenis virus yang berlainan seperti hepatitis A, B dan C. Jikalau anda dijangkiti hepatitis B atau C, anda tidak boleh menderma darah anda kerana virus ini boleh disebarkan melalui transfusi darah yang tercemar dan boleh menyebabkan akibat yang teruk kepada pesakit yang menerima transfusi tersebut. Sekira anda dijangkiti oleh jenis hepatitis yang lain, anda mestilah memaklumkan kepada pegawai perubatan di Pusat Pendermaan Darah mengenainya. Dan sekiranya anda pernah berhubung rapat dengan sesiapa yang pernah dijangkiti hepatitis, anda tidak sepatutnya menderma dalam jangka masa 12 bulan.

3. Siflis (Syphillis)

Jikalau anda dijangkiti penyakit siflis ataupun penyakit kelamin yang lain ("veneral disease (VD)” atau "sexually transmitted disease”), darah anda adalah tidak sesuai untuk pendermaan. Meraka yang dijangkiti siflis atau VD akan mengakibatkan gatal-gatal pada bahagian kemaluan, ulser atau cecair, demam atau kelenjar-kelenjar membengkak. Anda perlu mendapatkan rawatan pegawai perubatan sekiranya anda dijangkiti siflis atau penyakit-penyakit kelamin yang lain.

4. Malaria

Penyakit malaria adalah disebabkan oleh parasit plasmodium yang menjangkiti sel darah merah. Ia boleh disebabkan melalui transfusi darah. Sekiranya anda pernah dijangkiti malaria, sila jangan menderma darah dalam masa tidak kurang dari 3 tahun dari tarikh anda menghabiskan rawatan.
Sekiranya anda pernah melawat atau duduk di negeri di mana malaria adalah satu masalah, anda mungkin berisiko dijangkiti malaria dan menyebarkannya kepada pesakit yang menerima transfusi darah anda.




Teks Asal Oleh:
Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal,
Kementerian Kesihatan,
Negara Brunei Darussalam.






1 ulasan:

Ty berkata...

Adakah anda mengalami HAPETITIS apa-apa jenis? Hubungi Dr. Iyabiye bagi jumlah bagi jumlah penawar melalui iyabiyehealinghome@gmail.com atau Tel: +2348072229413